Monday, June 28, 2010

KENALI DIRI NESCAYA KAMU AKAN MENGENAL ALLAH

Salah satu cara mengenal Allah ialah dengan mengenal diri sendiri. Maksudnya ialah hakikat diri yang sebenarnya. Adapun maksud diri yang sebenarnya itu bukanlah diri yang bersifat lahiriah, kerana jasad ini tidak membawa makna yang sebenar untuk mengenal Allah SWT.


Pada abad moden ini ramai dikalangan kita tidak mengenal dirinya yang sebenar. Mereka menganggap bahawa dirinya hanyalah tubuh badan yang terdiri daripada kulit, daging, tulang, darah dan sebagainya. Yang dimaksudkan dengan sebenarnya ialah diri yang batin iaitu diri yang datang dan akan kembali kepada Allah SWT.


Ulama ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid berpegang bahawa diri kita ini merupakan tangga untuk mengenal Allah, sesuai dengan dalil yang mengatakan: “Siapa yang mengenal dirinya, sesungguhnya ia akan mengenal Tuhan-nya”. Dikalangan ulama tasauf atau ulama ilmu ketuhanan selalu menasihatkan carilah diri kamu di dalam diri”, maksudnya ialah menyuruh agar kita mencari hakikat diri kita yang sebenarnya terlebih dahulu. Apabila kita telah menemukan diri kita yang sebenarnya pasti kita akan mengakui hakikat adanya Allah SWT.


Hakikat diri yang sebenarnya merupakan roh atau jiwa ataupun rohani yang ada dalam diri manusia itu sendiri yang harus dikenali setiap manusia. Diri batiniah ini tidak dapat dilihat atau diraba oleh mata lahiriah dan tangan manusia. Walaupun di dalam Al Quran “diri” itu disebut dengan berbagai istilah, tetapi tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada manusia supaya berfikir bahawa betapa luasnya “diri” yang hakikat itu di dalam manusia. Diri manusia dilengkapi oleh Allah dengan sifat-sifat tertentu, kemudian sifat-sifat tersebut dinilai atau dihisab samada baik ataupun buruk.


Firman Allah SWT maksudnya:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertnggungjawapannya”. (Al Isra’ 36)


Allah menjelaskan kepada kita tentang istilah jiwa dan sifat yang terdapat pada jiwa, iaitu pendengaran, penglihatan, disamping roh juga akan diuji tentang ketakwaannya kepada Allah. Itulah sebabnya ketika Allah berfirman kepada roh-roh atau jiwa sedia untuk berbakti dan melaksanakan perintah Allah SWT. Untuk melakukan dan melaksanakan perintah tersebut maka diciptakanlah jasad, lalu Allah menjadikan Adam. Roh telah berikrar dan berjanji kepada Allah, maka untuk membuktikan dan berbuat sesuatu maka roh memerlukan tempat iaitu jasad.


Istilah batin disebut juga dalam Al Quran dengan qalbi. seandainya qalbi tersebut diterangi dengan nur maka selamatlah seseorang itu. Maka sekiranya tiada nur, gelaplah seseorang itu. Qalbi mesti mempunyai asas yang membolehkannya selamat yang hanya Allah menentukannya. Sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam diri berupa nafas, akal, nafsu dan roh bila menjadi satu maka dinamakan dengan insan.


Qalbi di dalam Al Quran diistilah sebagai diri atau hati. Qalbi sebenarnya mengetahui apa yang patut dibuat dan apa yang patut dilaksanakan mengikut nilai-nilai diri itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya:
“Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”. (As Sham, 9 - 10)


Jadi untuk merealisasikan pengertian bahawa siapa yang mengenal dirinya akan mengenali Tuhan-nya itu, iaitu dengan cara memahami hakikat roh, jiwa atau qalbi yang sebenarnya. Sesungguhnya untuk mencapai ke tahap yang tinggi memerlukan pengetahuan dan keyakinan yang kukuh terhadap Allah SWT. Wallhu A’lam.

Friday, June 18, 2010

Idaman suami yang soleh?

"Apakah doa kamu?"

"Semoga dikurnia suami soleh yang boleh membimbing saya dunia dan akhirat"

Jawapan begini biasa diberikan gadis yang bakal mendirikan rumahtangga ataupun pengantin baru. Kebanyakan wanita jika diajukan mengenai jodoh, mahukan suami soleh. Tetapi, apakah suami yang diidamkan itu, benar-benar memenuhi keperluan wanita? Cuba kita jenguk apa yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga selepas doa si gadis untuk mendapatkan 'lelaki soleh' mungkin sudah dimakbulkan Allah.
Lelaki yang soleh amat takut kepada Allah. Salah satu bukti ketakutannya kepada Allah ialah mengerjakan solat. Jadi lelaki yang soleh akan menyuruh, malah kekadang sehingga menyuruh, malah memaksa isterinya solat. Tetapi ada isteri yang liat untuk solat, sedangkan sebelum kahwin dia kata dia mahukan suami yang soleh.

Sedang si isteri sedap tidur di waktu malam, si suami kejutkan suruh solat tahajud.

"Apalah suamiku ini?" rungut si isteri. Dulu si gadis mahukan lelaki soleh, tetapi selepas dapat lelaki soleh yang kejutkan si isteri untuk solat tahajud, dia marah-marah pula.

Lelaki yang soleh amat taat kepada Allah. Islam mewajibkan wanita tutup aurat. Jadi suami yang soleh tidak akan benarkan isterinya keluar rumah atau mengenakan pakaian sesuka hati. Atau berhias dan bermekap tebal. Suami yang soleh akan memastikan si isteri tutup aurat. Tetapi ada isteri kurang senang dengan perkara begini. Bukankah dulu, anda berdoa untuk mendapat suami yang soleh, tetapi bila dimakbulkan anda bantah pula cakapnya!

Suami yang soleh tidak akan duduk di rumah sahaja - 'berada di bawah ketiak isteri sepanjang hari'. Ini kerana jihad fisabilillah adalah antara program lelaki soleh. Dia akan sentiasa keluar untuk berjuang. Sama juga dengan mencari rezeki halal, sehingga kadang-kadang balik lewat malam. Ini lagi tak disukai wanita. Jika dulu anda dambakan suami soleh, bila dah dapat, cara hidupnya pulak yang tak anda sukai.

Lelaki yang soleh juga akan menjadikan masjid sebagai 'rumah keduanya'. Ini pun ada wanita tak suka, asyik-asyik ke masjid aje, kata mereka.

Lelaki yang soleh amat taat kepada kedua ibu bapanya. Malah, baktinya kepada ibu bapanya melebihi kepada isteri. Ini menyebabkan sesetengah isteri amat cemburu. Dulu anda mahukan lelaki yang soleh (amat taat kepada ibunya), bila dah dapat, anda marah pula! Macamana doa anda dulu??

Lelaki yang soleh juga tidak hidup bermewah-mewah. Wangnya yang banyak dihabiskan dalam perjuangan. Dia pun takut terima rasuah dan segala macam duit haram. Jadi dia tak dapatlah beri barang-barang mewah seperti rumah besar, kereta besar dan rantai berjela kepada isteri dan keluarganya. Dalam perkara ini pun ada isteri yang tak gemar. Jika dulu doa mahukan suami soleh, tetapi sekarang tidak suka pula sikapnya.

Lelaki yang soleh mahu menjauhkan diri daripada maksiat. Dia buat yang halal sahaja. Salah satu perkara yang halal ialah kahwin empat. Ini memang mana-mana perempuan pantang, malah membenci suaminya kahwin lagi. Bukankah dulu anda mahukan lelaki yang soleh?

Demikian banyaknya perkara yang tidak disukai oleh isteri, walaupun doanya dulu mahu mendapat suami yang soleh. Berdasarkan kriteria yang dibincangkan di atas, jelaslah suami yang soleh tidak dapat memberikan sebahagian besar daripada kehendak duniawi si isteri. Si isteri tak perlulah mengeluh, sebaliknya bersyukur kerana doa untuk mendapatkan suami yang soleh, mungkin telah dimakbulkan Allah. Ingatlah, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditawarkan pilihan dunia (kesenangan) atau akhirat. Akhirnya mereka memilih akhirat.

Istilah SEMBAHYANG kepada SOLAT!

Tukarkan penggunaan Istilah SEMBAHYANG kepada SOLAT!.

Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya, istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur "Syirik."

Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan "Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah" dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa - dewa yang disembah oleh penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai "menyembah berhala yang bernama Hyang."

Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada "menyembah dewa yang bernama Hyang."

Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian pergi ke Gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai "Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada "menyembah dewa bernama Hyang."

Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun untuk menunaikan Solat Subuh. "nak, bangun!. pergi "Sembahyang Subuh," kepada "nak, bangun!. Pergi "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya

Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini hanyalah hal yang remeh dan tidak begitu penting. Tetapi bagi mereka yang mempunyai kesedaran Agama dan memetingkan kualiti ibadah, akan sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.

SEBARKAN . . . Semoga Allah merahmati usaha kita. Amin!.
by: La Tahzan...

Perkahwinan Untuk Mencari Restu Siapa?

Hidup untuk berkahwin telah menjadi fitrah semulajadi manusia sejak zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah dunia ini dikiamatkan oleh Allah S.W.T. Meskipun sejak kebelakangan ini ramai dikalangan anak gadis belum berkahwin sehingga ada yang digelar Andartu, ini bukan bermakna mereka tidak mahu berkahwin. Berbagai alasan yang boleh diberi namun keinginan dan kemahuan untuk berkahwin tetap subur,
cuma jodoh belum dipertemukan.

Sememangnya perkahwinan itu menjanjikan pelbagai keindahan dan kemanisan. Kebenaran tanggapan memang ada, tetapi ia bergantung kepada sejauhmana pasangan suami isteri itu mengendali bahtera perkahwinan itu. Pahit maung dan manis madunya perkahwinan itu terserlah kepada kita. Kitalah yang mewarnai perkahwinan itu dan hari-hari yang seterusnya.

Perkahwinan yang diredhai, itulah perkahwinan yang diberkati. Ini bukan bermakna perkahwinan hanya mendapat restu dari ibu bapa setelah memadai untuk mengecapi keberkatan. Tetapi konsepnya yang sebenar ialah perkahwinan yang dilangsungkan itu menurut Al Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.
Di sinilah neraca kita menilai perkahwinan itu diredhai atau tidak. Tidak cukup hanya suka sama suka, dapat restu dari ibu bapa tetapi pelaksanaan bermulanya pertemuan dua hati sehinggalah hari diijabkabulkan hendaklah berada di dalam syariat Allah S.W.T, maka itulah perkahwinan yang didatangi para malaikat dan doa para solehin dan aulia.

Perkahwinan itu adalah tradisi orang soleh malah para Nabi pun berkahwin dan mempunyai zuriat. Justeru itu perkahwinan mereka juga adalah suatu modul yang perlu kita teladani kerana hasil dari perkahwinan dan perhubungan hati yang intim sesama insan dan kepada Allah telah melahirkan zuriat yang soleh dan solehah.
Dunia dipimpin dan ditadbir orang yang mulia hatinya dan mendapat pertolongan Allah S.W.T. Apakah kita tidak mahu memiliki anak yang soleh? Apakah kita tidak mahu dipimpin oleh suami yang soleh? Apakah kita tidak mahu hidup di dalam masyarakat yang beriman?

Ini adalah idaman setiap insan dan juga diri kita. Yang pasti perkahwinan itu di atas disusun dan diuruskan mengikut sebagaimana yang Allah S.W.T mahukan. Kerana segala-galanya bermula di awal perkahwinan kita. Kalau silap dan tidak betul kita laksanakan, tentunya perkahwinan itu tidak menghasilkan kebahagiaan apatah lagi rahmat dan kasih sayang dari Allah.

Kepada para pembaca yang budiman, dapat kiranya tulisan sehingga akhir. Jika masih terdapat kekurangan, sesungguhnya itu adalah kelemahan kami yang tidak disengajakan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah S.W.T dan yang buruk itu adalah dari nafsu ini. Wallahu alam

Isteri yang kamu nikai tidaklah semulia Khadijah, tidaklah setaqwa Aisyah, pun tidaklah setabah Fatimah. Justeru isterimu hanyalah wanita akhir zaman yang punya cita-cita menjadi solehah
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama
Isteri menjadi tanah, kamu langit penaungnya.
Isteri ladang tanaman, kamu pemagangnya.
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya.
Dan isteri adalah murid, kamu mursyidnya.
Isteri Isteri bagaikan anak kecil, kamu tempat bermanjanya.
Saat isteri menjadi madu, kamu teguklah sepuasnya.
Seketika isteri menjadi racun, kamulah penawar bisanya.
Seandainya isteri tulang yang bengkok, berhatilah meluruskannya.
Pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa.
Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah SubhanAllah Wa Taala kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana

Justeru kamu akan tersentak dari alpa
Bahawa kamu bukanlah Rasulullah S.A.W. Pun Bukanlah Sayyidina Ali Karamallahuw Ajhah. Cuma suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamiin

by..Amirshah

Wednesday, June 16, 2010

"10 AMALAN YANG TERBALIK"

OLEH:IZZUDIN ASY-SYARQOWI

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung
kembali
tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan
dapati amalan kita
adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut
dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak
sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan
budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang
dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang
terbalik:-


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan
oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam
pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah
terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di
mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga
memasak makanan untuk keluarga simati untuk
meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa
pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang
datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir
makankenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka
termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh
simati atau harta peninggalan simati yang belum
dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri
kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang
diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan
kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak
segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau
menziarah keluarga si matilah kita patut memberi
sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa
kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan
untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita
berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap
Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih
kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini
suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri
jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa
yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan
yang dituntut supaya makan apa yang dihidang supaya
tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi
kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya
solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang
dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa
riak.


6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk
nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang
mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah
orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan
puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan
sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah.
Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan
membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila
balik dari Mekah tak buat kenduri pun.

Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana
selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan
kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.

Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai
tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka
gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen
walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh
baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak
mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas
mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar
sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi
kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20
kali hadir belajar pun menggeletar tangan.

Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih
berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau
bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang
malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau
ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan
kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak
panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta
tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada
dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias.
Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.

Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias
untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain.
Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan
rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita
berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah
kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut
landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang
digubah mengikut selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang
menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun
satu ayat."
(Riwayat Bukhari)

Saturday, May 8, 2010

TASAUF RASULULLAH SAW, PARA SAHABAT DAN AULIA ALLAH

Tercatat dalam Kitab Ilmu Tahqiq Manhalus Shofi Fi Bayaani Ahli-Ssufi peringatan yang sangat penting bagi mereka yang ingin memasuki dunia Tasauf sebagaimana berikut;
Setengah daripada yang tidak dapat tidak (yakni WAJIB) bagi orang yang murid yang hendak berjalan kepada Allah Subhanahuwa Taala, jalan Ahlullah, iaitu bahawa hendaklah melazimkan diri dengan "Adab Syariat" Nabi kita Muhammad SAW.

Yakni dengan memelihara segala perkara yang disuruh dan yang ditegah. Kemudian masuk ia pada "Thoriqat Nabi kita SAW" yakni mengikut akan jalan yang dikerjakan oleh Nabi yang terdiri dari amal atas sekuasa-kuasanya. Tiadalah maqam yang terlebih(afdhal) daripada mengikut Nabi SAW pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya. Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan dengan mengikut Nabi kita SAW kerana dialah Ariffin yang mengetahui dengan sesuatu yang menghampirkan dirinya kepada Allah dan kepada redhoNya. Sesungguhnya telah berjalan Ia(Rasulullah SAW) dengan Dia bagi dirinya dengan demikian jalan.

Barangsiapa yang mengikut akan dia (Rasulullah SAW) padanya, maka tiada maqam yang terlebih afdhal daripada maqamnya. Setengah daripadanya dapat kasih Allah Taala seperti firman Allah Taala;

"Katakanlah olehmu ya Muhammad! Jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikut oleh kamu sekalian akan daku nescaya dikasih akan kamu oleh Allah Taala"

Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a ada membuat peringatan ini dalam Kitab Hikamnya;

"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut"Thoriqat Muhammadiyah" (yakni Sunnah Rasulullah SAW) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".

Demikianlah dasar yang menjadi intipati sandaran para pendokong Ilmu Sufiah, tidak sama sekali berenggang jauh dengan petua dan amalan-amalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Sejarah telah membuktikan akan keluhuran dan ketinggian peribadi Rasulullah SAW, para sahabat-sahabat yang keistimewaan dan kekuatan jiwa dan ruh Islam yang hakiki mengalahkan tamadun-tamadun yang sebelum itu, semasa itu dan selepas itu dan "isme-isme" yang ada sekarang ini.

"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan". (Al-Hasyr: 09)

Tulisan ini adalah sebagai lanjutan dari bicara mengenai Tasuaf dan maksud bertasauf. Di samping itu juga ia adalah merupakan usaha untuk mengheningkan kebingungan golongan yang mendakwa diri mereka pengamal tasauf sedangkan mereka telah tertipu dan terpedaya oleh syaitan laknatullah kerana meremeh-remehkan syariat malah ada yang sampai ke tahap membuang terus kemuliaan syariat ini semata-mata beralasan bila sudah berada dipuncak, segala hukum dan tuntutan syariat tidak boleh dipakai. Mereka bukan sahaja tergelincir dari "jalan yang benar" malah boleh menyebabkan orang awam(kebanyakan orang ramai) akan menjadi keliru dan turut terjebak dalam golongan yang suka saya gelarkan "Tasauf Pinggiranr".

Marilah sama-sama kita perhatikan bagaimana Tasauf membayangi kehidupan Rasulullah.

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bersunyikan diri diri Gua Hira' sehingga menjadi Rasul. Rasulullah sangat kuat bertahajud, beristigfar, berzikir, sembahyang hingga bengkak kakinya kerana lama berdiri Qiyam. Rasulullah menangis kerana takutkan TuhanNya. Rasulullah menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang buruk buangan. Semua ini terang dalam hadis yang shohih.

Rasululah mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman; "Aku di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya"

Rasulullah tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Omar Al-Khattab dengan keadaan Nabi itu.

Asas pembinaan peribadi yang luhur dengan ketaatan yang tinggi terhadap Allah Taala ini telah diwarisi oleh sahabat-sahabat baginda. Tiap-tiap seorang muslim
pada zaman Rasulullah jadi Abid dengan hidup cara tasauf dalam kecergasan tabie semulajadi.

Sahabat-sahabat Nabi itu memandang dunia sebagai Rasulullah memandang dunia dengan rendahnya dan bersedia menghadap akhirat semata-mata kerana Allah. Kerana ringan dan murahnya nilai dunia ini, maka mudah sahaja dijijak dan diperhambakan hingga mereka menguasai dunia ini dan dengan dunia yang diperhambakan itu mereka membeli dan berjaya memenangi akhirat. Maka menguasai dunia untuk dijadikan tunggangan ke akhirat. Sekali-kali tidak ada peluang diberikan kepada dunia itu menakluki mereka atau mengatasi mereka. Kerana itu mereka berjaya di dunia dan di akhirat iaitu terus menang dlam jihad mereka.

Abu Bakar, bila beribadat kerana takut kepada Allah hingga bernyawa seperti jantung terbakar. Beliau membaca Al-Qur'an sepanjang malam; termakan makanan syubhat termuntah-muntah. Dalam satu peperangan Abu Bakar menyerahkan semua harta kekayaannya kepada Rasulullah kerana memenuhi seruan jihad. Inilah jiwa tasauf yang terpancar pada Abu Bakar Al-Siddiq.

Omar Ibni Al-Khattab yang menghancurkan Empayar Rum dan Parsi, menguasai timur dan barat yang bertamadun zaman itu penuh dengan kekayaan harta dan perbendaharaan; ia kerap makan tidak berlauk, bajunya bertampal 12 tampal, lambat satu hari ke masjid hingga tertunggu-tunggu jamaah yang hendak beriman akan dia. Bertanya sahabatnya; "Kenapakah lambat ya Amirul Mukminin?" Sahutnya; "Aku membasuh kain(dan tunggu hingga kering) tak ada kain lain". Inilah ruh Tasauf yang menjelma melalui Omar Ibni Al-Khattab.

Sayyidina Ali bin Abi Talib lebih lagi daripada Sayyidina Oma waraknya. Suatu hari dengan penatnya dia keluar mencari upah tetapi tidak berhasil. Bila balik didapatinya tersedia tiga biji tamar. Oleh kerabna sudah sehari suntuk tidak makan, tetapi bila ia hendak menyuap tamar yang ada di rumah itu teringat ia tidak tahu tamar siapa? hingga isterinya Fatimah menerangkan itu memang disimpankan untuknya. Baru ia hendak menyuap, tiba-tiba terdengar oorang memberi salam dan berkata; "Saya orang miskin kelaparan. Kerana Allah ..Ya Ali!!! berilah saya makanan". Tidak jadi ia menyuap makanan itu lalu diberikan kepada si miskin itu.

Bila akan menyuap yang kedua terdengar lagi satu salam dan menyeru; "Ya Ali.... saya anak yatim. Kerana Allah berilah saya makan kerana sangat lapar". Tidak jadi dimakannya tamar yang kedua itu lalu diberikan tamar itu.

Baru hendak menyuap yang ketiga, datang pula seorang lelaki. "Ya Ali...saya seorang yang merana. Kerana Allah berilah saya makan". Tamar yang akhir itu terus diberianya, tinggallah ia dengan kelaparan demi kerana Allah.

Pada hari wafatnya berpuluh-puluh janda meraung menangis hingga gempar dan hairan orang melihatnya. Bila ditanya kepada janda-janda itu?, jawab mereka:

"Tumbanglah harapan kami, putuslah pergantungan kami, kerana selama ini Ali lah yang menanggung dan menyara kehidupan kami" Tegasnya dalam sulit, tiada dengan tahu sesiapa Ali menolong janda-janda itu, Ali miskin kerana kesenangan orang lain. Inilah kemurniaan Tasauf yang bergemilapan pada peribadi Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Abu Ubaidah bin Jarah, pahlawan Islam, pembuka dunia baru mengembangkan Islam, jadi Raja(Amir) di Syam negeri yang mewah makmur dengan kekayaan. Manakala Umar melawat Syam dan bila masuk ke istana tiada kelihatan apa-apa benda kecuali sebiji pinggang dan sehelai tikar. Umar pun menangis kerana kasihan dan sedihkan nasib Abu Ubaidah yang menderita dalam negeri yang mewah. Memandangkan hal itu, Abu Ubaidah berkata;

"Ya Amirul Mukminin, adakah tuan menangiskan nasib saya sedangkan saya telah menjaulkan dunia saya untuk membeli akhirat".

Generasi seterusnya terus mewarisi pesaka keluhuran budi dan ketinggian ubudiyah ini dengan
Melazimi dan mengekali wirid harian untuk mendapat Warid,

Imam Ali bin Hussin r.a sembahyang sunat sebanyak 1,000 rekaat sehari semalam.

Aulia Allah Daud Al-Thoni tidak mengunyah makanannya tetapii direndamnya dalam ayer dan menelannya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab, untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan membaca al-Qur'an.

Sheikh Junaid Al-Bagdadi menegaskan: " Apa yang aku dapat dalam bidang kerohanian adalah melalui tiga perkara: Pertama - menjauhkan dunia; Kedua - puasa; Ketiga - berjaga sepanjang malam.

Beliau berkata lagi Kesufian itu ialah lari dari dunia menuju Allah dan berada sentiasa dalam ibadat, carilah kesufian itu dalam diri sendiri

Sejarah Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni mencatatkan selama 30 tahun dia tidak tidur malam.

Mansur bin 'Amar berkata; Kebersihan hati dicapai dengan empat latihan: bercampur dengan Aulia Allah, mengaji al-Qur'an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan air mata pada masa sembahyang.

Imamiyah Tasauf Sheikh Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan menahan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."


Jelasnya dan nyata sekali kini, bahawa Ilmu Tasauf ini bukanlah semata-mata ilmu yang hanya bermain-main dengan kata-kata hakikat atau makrifat yang dijadikan topik perbualan di kedai-kedai kopi dengan meremeh-remeh dan mempersendakan syariat. Ianya adalah sesuatu yang "besar" melebihi jangkaun fikiran. Hayatilah catatan pengalaman Hujjatul Islam Imam Ghazali ini yang tercatat dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin sebagai satu rumusan mengenai Tasauf ini

Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Bayangan salah satu tempat celaka dan binasa ini boleh diambil iktibar dari kisah Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani yang pada satu masa berada di dalam hutan tanpa makanan dan minuman beberapa lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan. Dapatlah Sheikh itu menghilangkan dahaganya. Dengan tdak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar tidak jauh dari situ dan lembaga itu berkata, "Aku ini Tuhan kamu. Sekarang ini aku halalkan segala yang haram untuk kamu". Mendengar itu Sheikh Abdul Qadir pun membaca; "A 'uzubillahi minassyathonir rajim". Lembaga itu bertukar jadi awam lalu berkata, "Dengan ilmumu dan rahmat Allah kamu telah terselamat dari tipu helahku" Kemudian syaitan itu bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal syaitan itu dengan segera. Jawab Sheikh Abdul Qadir, bahawa apabila syaitan itu mengatakan yang ia menghalalkan yang haram, maka dengan serta-merta ia tahu bahawa bukan datang dari Allah Taala kerana Allah tidak menghalalkan segala yang haram.

URUSLAH MASAMU

Kepentingan Masa
Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Di dalam al Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat al Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti berikut. Maksdunya:
"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali merka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran"

Pembahagian Masa

Pembahagian masa kepada semua manusia adalah sama banyak. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu,sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada merka yang pandai mengurus masa.
Dalam hal ini Rasullulah s.a.w berpesan:Bersedialah
1. Masa hidup sebelum mati
2. Masa sihat sebelum sakit
3. Masa muda sebelum tua
4. Masa kaya sebelum miskin
5. Masa senang sebelum susah

Peringatan ini kepada semua pihak terutamanya kepada para pelajar yang akan menempuh alam peperiksaan.Persediaan masa belajar diperingkat awal akan memudahkan pelajar menghadapi persediaan peperiksaan pada peringkat akhir.Jika penggunaan masa dapat diatur dengan bijak sudah pasti akan membawa kejayaan yang cemerlang.

Faktor-Faktor Pengurusan masa.

Sebelum dapat mengurus masa dengan bijak, terdapat beberapa perkara atau faktor yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan masa dengan cara tidak berfaedah. Misalnya:

1. keluarga
2. rakan-rakan
3. aktiviti yang tidak berfaedah
4. pengaruh media massa
5. sikap

Cara mengurus masa

Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:
1. senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
2. susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya.
3. elakan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah.
4. agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
5. buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
6. Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
7. Jika berjaya dalam sehari,cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminnggu.

Jika amalan di atas dapat dilakukan dengan teratur dan berdisiplin,sudah pasti para pelajar dapat menggunakan masa dengan baik.

KUASA KEBESARAN ALLAH