Wednesday, June 16, 2010

"10 AMALAN YANG TERBALIK"

OLEH:IZZUDIN ASY-SYARQOWI

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung
kembali
tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan
dapati amalan kita
adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut
dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak
sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan
budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang
dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang
terbalik:-


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan
oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam
pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah
terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di
mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga
memasak makanan untuk keluarga simati untuk
meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa
pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang
datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir
makankenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka
termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh
simati atau harta peninggalan simati yang belum
dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri
kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang
diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan
kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak
segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau
menziarah keluarga si matilah kita patut memberi
sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa
kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan
untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita
berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap
Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih
kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini
suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri
jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa
yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan
yang dituntut supaya makan apa yang dihidang supaya
tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi
kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya
solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang
dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa
riak.


6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk
nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang
mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah
orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan
puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan
sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah.
Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan
membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila
balik dari Mekah tak buat kenduri pun.

Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana
selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan
kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.

Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai
tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka
gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen
walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh
baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak
mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas
mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar
sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi
kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20
kali hadir belajar pun menggeletar tangan.

Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih
berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau
bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang
malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau
ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan
kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak
panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta
tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada
dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias.
Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.

Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias
untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain.
Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan
rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita
berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah
kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut
landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang
digubah mengikut selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang
menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun
satu ayat."
(Riwayat Bukhari)

No comments:

KUASA KEBESARAN ALLAH