Friday, March 5, 2010

Keliru - Punca Gagal Penuhi Tanggungjawab

Menjadi ibu bapa yang sempurna untuk anak adalah idaman ramai ibu bapa. Namun, ia bukan tugas mudah. Selain memastikan diri sendiri menjadi contoh terbaik kepada anak, ibu bapa juga perlu melengkapkan dan meningkatkan diri dengan ilmu keibubapaan agar tahu cara untuk menangani dan memahami masalah yang dihadapi anak mereka.

Dalam menempuh cabaran globalisasi, pengalaman
saja tidak mencukupi. Sebaliknya, ibu bapa perlu memiliki ilmu keibubapaan dalam mendidik anak cemerlang dalam semua aspek, sama ada rohani, mental dan fizikal. Ini turut dipersetujui Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Ibrahim Hashim.

Bagaimanapun katanya, ada yang berpendapat perkara itu wujud secara semulajadi dan mengalir ke dalam jiwa seseorang apabila menjadi ibu atau bapa. Beliau berkata, anak adalah cermin diri ibu bapa atau individu yang terdekat, anak tidak belajar daripada apa yang ibu bapa katakan tetapi belajar daripada apa yang ibu bapa lakukan. Justeru langkah pertama untuk mendidik anak menjadi cemerlang adalah dengan menjadi ibu bapa yang cemerlang.

Hakikat ini harus diterima oleh semua ibu bapa kerana sumber pembelajaran anak adalah melalui pemerhatian, peniruan dan pengulangan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Bagaimanapun cabaran untuk melahirkan anak cemerlang tidak mudah lebih-lebih lagi dalam suasana hari ini. Antara cabaran yang perlu diberi perhatian ialah ibu dan bapa mereka keluar bekerja bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

"Keluarga yang utuh hanya terbentuk dengan gabungan kewibawaan dan kepimpinan pemimpin keluarga iaitu suami atau bapa. Mereka yang cetek ilmu keibubapaannya akan merapuhkan institusi sesebuah keluarga sekaligus tidak dapat melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab sebagai ketua, pemimpin dan pelindung keluarga," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr. Ibrahim, secara umunnya menjadi seorang bapa sememangnya mudah, tetapi apa yang perlu difahami ialah konsep keibubapaan itu sendiri. Katanya, pengukuhan institusi kekeluargaan perlu bermula dengan kejituan konsep keibubapaan yang dilihat begitu longgar hari ini. Kesibukan ibu bapa mengejar kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka secara tidak langsung menyebabkan wujudnya kepincangan dalam sesebuah keluarga.

Namun, katanya, itu tidak menandakan bahawa ibu bapa hari ini kurang kemahiran keibubapaan berbanding generasi lalu. Sebaliknya ketidakupayaan ibu bapa hari ini untuk mengadaptasikan konsep keibubapaan dengan perubahan persekitaran dan gaya hidup adalah punca utama kegagalan mereka membentuk keluarga bahagia yang cemerlang.

"Dulu keadaan persekitaran berbeza dengan hari ini. Kemahiran keibubapaan yang sepatutnya pada alaf baru ini juga perlu mengalami perubahan berbanding dulu yang tidak lagi sesuai diamalkan dalam suasana hari ini."

"Selain faktor dalaman itu, faktor luaran yang ada sekarang ini banyak yang boleh mempengaruhi perlakuan dan pembentukan remaja khususnya hiburan, internet dan pengaruh rakan sebaya. Tanpa pemantauan dan perhatian ibu bapa, pincanglah masa depan anak mereka,'' terangnya.

Seorang bapa yang memahami maksud kebapaan dengan menekankan amalan sifat baik seperti bertanggungjawab, menunjukkan teladan dan amalan kebapaan yang perlu diserapkan. Malah katanya, kesedaran mengenai tanggungjawab bapa dalam keluarga juga dapat menghindari pelbagai gejala sosial yang mempengaruhi perilaku remaja.

"Mendidik anak bukan tugas ibu sahaja, sebaliknya perlu pembabitan aktif bapa bagi memastikan keharmonian keluarga serta kejayaan mendidik anak yang produktif menyumbang kepada pembangunan masa depan negara," ujarnya.

Malangnya, ramai bapa masih keliru dan jahil mengenai peranan mereka kerana kurang pengetahuan mengenai ilmu kebapaan dan cara menunaikan tanggungjawab itu dengan menampilkan diri sebagai teladan.

"Aspek ini perlu dikuasai setiap bapa pada peringkat awal bagi melengkapkan diri mendidik anak sebagai insan cemerlang, gemilang dan terbilang,'' ujarnya.

Contoh paling mudah ialah, ibu bapa perlu mengambil tahu siapa rakan anak mereka, apa kegiatan yang dilakukan dan di mana mereka pergi untuk menghabiskan masa. Pada masa sama, ibu bapa juga harus cuba mengenali siapa anak mereka khususnya kehendak dan keperluan asas serta sekunder mereka yang sentiasa berubah apabila mencapai peringkat umur tertentu. Jika keperluan asas dan sekunder itu yang membabitkan kemudahan makan, minum, pakaian tempat tinggal dan keperluan psikologi, keselamatan ahli keluarga serta pengiktirafan kasih sayang dipenuhi, pasti masalah tidak timbul pada masa depan, khususnya ketika memasuki peringkat remaja.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa bahawa anak adalah harta yang tidak ternilai yang diamanahkan Tuhan untuk dijaga sebaiknya. Fungsi ibu bapa hari ini, kata Dr. Ibrahim, sebenarnya bukanlah sesukar yang difikirkan.

"Anak-anak kita mahupun yang masih kecil mahupun remaja bukan mementingkan kekayaan, sebaliknya memerlukan kasih sayang daripada kita sebagai ibu dan bapanya."

"Yang penting kita sebagai ibu bapa harus memahami, memberi perhatian dan menyediakan keperluan bagi memastikan keluarga yang dibina adalah keluarga yang sejahtera dan dilimpahi kasih sayang," ujarnya.

No comments:

KUASA KEBESARAN ALLAH