Monday, March 8, 2010

TIPS UNTUK SUAMI ISTERI

BIASANYA, selepas suami isteri bergaduh dan bertengkar, mereka mahu berdamai. Kalau boleh, mereka mahu pergaduhan itu adalah yang terakhir dan inginkan perdamaian yang kekal. Bagaimanapun, kebiasaannya, apa yang berlaku sebaliknya. Perdamaian itu bersifat sementara. Esok lusa mereka bergaduh lagi.

Antara faktor yang menyebabkan suami isteri
bergaduh dari semasa ke semasa ialah kerana mereka tidak menggunakan teknik yang betul untuk berdamai. Pakar komunikasi interpersonal memberi panduan untuk mencapai perdamaian yang tahan lama, antaranya:

- Jangan menghukum

Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua pihak. Dalam keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak yang satu lagi.

Lelaki dan wanita mempunyai cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk “menarik diri“ dengan mereka tidak mahu lagi bercakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami.

Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah ia hanya akan mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.

- Jangan berdusta

Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri pun juga mahu berdamai, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong untuk melupakan usaha berdamai.

TIPS UNTUK SUAMI ISTERI___________________________________________


- Jangan mencari salah

Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Perbuatan mencari salah termasuk mencari kelemahan dan kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.


- Elak bahasa negatif

Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada menggunakan bahasa negatif.


- Senyum semula

Kajian mendapati antara perkara yang banyak disebut lelaki terhadap bekas isteri mereka ialah janda mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.


- Mula berdamai

Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai?

Kalau benar kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya.

Tunjukkan bukti kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai orang itu menolak usaha kita, kerana dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk berdamai, jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.







TIPS UNTUK SUAMI ISTERI___________________________________________


- Kenal pasti punca masalah

Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik.

Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi bagi mengelakkannya berulang pada masa depan.

Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan yang berfungsi sebagai label kepada perbuatan orang itu. Gunakan perkataan yang memperjelaskan apa yang sebenarnya dia telah lakukan sehingga tercetusnya konflik.


- Kenal pasti perubahan

Perjelaskan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan. Disebabkan konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak disetujui, cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah-laku itu.

Ramai orang, apabila mahu pasangannya mengubah tingkahlaku, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah laku yang mana satu yang mesti diubahnya.

Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari sebagaimana manusia perlu belajar cara berlari menggunakan teknik yang betul.

No comments:

KUASA KEBESARAN ALLAH