Thursday, May 6, 2010

BUAT ANALISA DAHULU SEBELUM PILIH SUAMI ATAU ISTERI

Menurut perspektif Islam, perkahwinan adalah suatu akad antara seorang lelaki dengan seorang perempuan (sacrament contract) bagi menghalalkan pergaulan mereka untuk hidup bersama dengan mengamalkan sikap saling bantu-membantu, hormat-menghormati disamping mempunyai hak dan kewajipan timbal-balik demi melahirkan zuriat yang saleh.

Perkahwinan termasuk dalam kategori lima hukum taklifiyah iaitu : wajib, sunat, haram, makruh dan mubah.

“Justeru itu bagi individu yang telah berkemampuan untuk berkahwin dan takut terjerumus dalam perbuatan maksiat, maka wajib ia berkahwin,” tegas Ustaz Shafie bin Khatib Jali, Penerangan Kanan, Bahagian Penerangan Pendidikan dan Perhubungan LPPKN yang menjadi tamu bulan ini.

“Tetapi dihukumkan haram jika seseorang itu yakin bahawa ia akan menyusahkan isteri dan anak-anaknya serta tidak berkemampuan menyempurnakan kewajipannya atau mempunyai penyakit yang boleh menular kepada isteri dan zuriatnya. Bagaimanapun dalam keadaan biasa, perkahwinan adalah sunat hukumnya,” tegas Ustaz Shafie lagi.

Perkelaminan merupakan tabiat semula jadi semua makhluk. Hakikat ini jelas tercatit di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Setiap benda kami (Allah),jadikan berpasangan semoga kamu memikirkannya”.
- Surah Az-Zariyat : 49 –

“Perkahwinan harus ada perancangan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam
agar dapat melahirkan keluarga yang bahagia dan dirancang,” ujar beliau.

“Islam memberi penekanan kepada pembentukan dan pembangunan keluarga bahagia dan sejahtera,bertanggungjawab dan beramal soleh. Untuk mencapai tujuan tersebut, pembentukan keluarga Muslim hendaklah berteraskan keimanan dan ketaqwaan”

“Kuatkuasa Undang-undang Keluarga Islam sahaja tidak mencukupi selagi setiap individu Islam tidak melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya yang berkaitan dengan kekeluargaan dan keibubapaan”.

“Untuk membentuk dan membangunkan sesebuah institusi keluarga yang dedikasi dan beramal soleh bukanlah mudah. Justeru itu ia perlu perancangan dan persediaan yang sempurna oleh setiap individu”.

“Perkahwinan memang mudah diucapkan dengan lisan tetapi berat untuk dilaksanakan dengan sempurna dalam amalan dan tindakan,” ujar Ustaz Shafie dengan bersungguh-sungguh.

“Oleh yang demikian perancangan dan persediaan amat perlu bagi setiap individu yang ingin berumahtangga. Aspek ini merangkumi faktor pengetahuan dan Kemahiran, Kemampuan Ekonomi dan kemampuan Kesihatan”.

Sebagai individu muslim khususnya bagi bakal-bakal pengantin, berkewajipan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang sistem kekeluargaan Islam yang berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah. Kefahaman tentang akidah dan ibadah, munakahat dan muamalat adalah penting.

Dalam perkara kekeluargaan dan keibubapaan yang terkandung dalam disiplin munakahat, banyak perkara yang perlu difahami sebelum melangkah ke alam perkahwinan di antaranya :

a) Konsep dan Struktur Keluarga Islam.
b) Konsep dan Sistem Perkahwinan Islam.
c) Konsep Perceraian dan Rujuk.
d) Hak dan Kewajipan ahli Keluarga.
e) Pewarisan
f) Pengetahuan Tentang Seksual.
g) Kemahiran Tentang Pengurusan Rumahtangga.
h) Kepimpinan Dalam Keluarga.
i) Komunikasi Antara Ahli Keluarga.
j) Disiplin Dalam Keluarga.
k) Perkembangan Kanak-Kanak.
l) Perkembangan Remaja Baligh.
m) Amalan makanan Dan Pemakanan.

Dengan kata lain, faktor-faktor ini berkait rapat dengan kemahiran keibubapaan yakni satu pendekatan baru yang menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.

Seterusnya kemampuan ekonomi merupakan salah satu keperluan asas untuk hidup yang meliputi beberapa perkara untuk perlindungan khususnya, tempat kediaman yang sesuai dan selesa, keperluan pakaian dan perhiasan diri, keperluan pendidikan, keperluan perubatan, makan minum dan sara hidup keluarga yang sewajarnya.

“Semua ini merupakan tanggungjawab suami sebgai ketua keluarga dan adalah menjadi peranan isteri untuk membantu”

Dan selanjutnya kemampuan kesihatan dan kesejahteraan jasmani rohani diberi perhatian berat oleh lslam. “Dalam Islam kesihatan adalah prioriti kerana ia sebahagian daripada iman”

“Oleh kerana perkahwinan pada asasnya melibatkan hubungan seksual lantas jika anggota kelamin tidak boleh berfungsi samada lelaki mahupun perempuan perkahwinan tidak digalakkan”

“Memandangkan keluarga moden zaman ini banyak menghadapi masalah seksual dan kesihatan adalah dinasihatkan supaya buat pengesahan dari segi kesuburan dan sebagainya,” jelas Ustaz Shafie.

Sehubungan dengan ini, pemilihan pasangan yang bersesuaian amat digalakkan oleh Islam.

“Walaupun jodoh ditentukan oleh Allah swt, namun manusia boleh berusaha mencari dan memilih pasangan untuk dijadikan isteri atau suami.dalam hal ini, Islam tidak melarang berkenalan untuk tujuan yang murni ini selagi tidak melanggar garis panduan yang ditentukannya.”

“Dalam pemilihan jodoh berbagai kriteria perlu diambil kira berdasarkan saranan-saranan hadis dan panduan-panduan para ulama’ di antaranya : status, sosial keluarga, keturunan, kecantikan dan status agama.”

Di samping faktor-faktor di atas, Ustaz Shafie turut menggariskan ciri-ciri lain sebagai asas dalam pemilihan pasangan hidup untuk lelaki dan wanita iaitu :

Ciri-ciri pada lelaki :

1) Kepimpinan.
2) Keupayaan kerjaya.
3) Keupayaan melayan.
4) Keupayaan intelektual.
5) Keupayaan memerhati.
6) Keupayaan berbincang.
7) Pemikiran waras.

Ciri-ciri pada wanita :

1) Keibuan.
2) Keupayaan bermesra.
3) Keupayaan erotik.
4) Keupayaan mengurus.
5) Memahami perhubungan.
6) Tahu menikmati keindahan.
7) Kreativiti.

“Justeru itu saya selalu mencadangkan kepada setiap individu untuk buat ‘working paper’ atau penganalisaan supaya dapat membuat pemilihan pasangan yang benar-benar sesuai,” tegas Ustaz shafie yang juga merupakan perunding khususnya di bidang keagamaan di LPPKN.

“Ini adalah untuk menepati ciri yang disebut ‘kufu’ atau sepadan sama ada dari segi umur, latar belakang, taraf pendidikan ekonomi serta status dalam masyarakat.Kufu ini penting agar tidak mencapai stabiliti dalam perkahwinan”.

“Yang elok,pihak lelaki lebih tinggi taraf pendidikannya ekonomi dan sosial agar tidak timbul konflik kemudiannya. Sebaiknya umur lelaki juga lebih jauh bezanya dari wanita,” ujar ustaz Shafie lagi.

“Lazimnya setiap pasangan harus menyiasat latar belakang bakal isteri atau suaminya untuk mengelakkan sebarang penipuan dan konflik.”

“Malah dewasa ini tradisi kekeluargaan yang mengutamakan peranan ibu bapa makin diabaikan. Pendapat dan saranan ibu bapa sering diketepikan, sebaliknya kata nasihat dan persetujuan ibu bapa amat penting,” tegas Ustaz Shafie.

“Bukanlah tujuan ibu bapa untuk menghalangi perkahwinan anaknya, cuma ibu bapa lebih berhati-hati atau mengambil langkah preventif agar tidak berlaku penipuan yang dikesali kemudian hari”.

“Hal ini berlaku berdasarkan ‘etika’ ketika bercinta di mana sikap berpura-pura sering timbul akibat rasa cinta yang kukuh itu,” tegas Ustaz Shafie lagi.

“Percintaan tidak dilarang begitu juga perkenalan tidak ditegah,namun kemesraan yang terjalin harus terbatas kehendak-kehendak Islam.tetapi kesempatan berkenalan dengan intim dan rapat tidak digalakkan”.

“Cuma dalam waktu perkenalan itu pastikan samada cinta yang dipupukkan adalah cinta yang jujur atau palsu,” kata Ustaz Shafie yang penuh makna.

Satu lagi ciri yang penting dalam proses perkahwinan adalah lamaran. Di dalam syariat Islam, peminangan atau lamaran merupakan suatu perjanjian biasa diantara seorang lelaki dengan wanita tentang persetujuan untuk berkahwin.

“Mengenai lamaran atau peminangan,Islam menentukan beberapa syarat atau tatacara yang jika dilanggar melibatkan masalah hukum. Di sini jelas bahawa peminangan bukanlah adat atau tradisi yang sengaja diadakan dan tidak penting. Ia termasuk di dalam tatacara Undang-Undang Keluarga Islam yang perlu dipatuhi dan diberi perhatian oleh semua pihak.”

“Begitu juga dengan pernikahan terdapat prosedur-prosedur yang telah ditentukan untuk dilaksanakan. Di mana pasangan-pasangan yang ingin berkahwin harus mendapat kebenaran mendaftar daripada pendaftar nikah-cerai di tempat mana pasangan wanita itu tinggal, sebaik-baiknya tujuh hari sebelum upacara akad nikah”.

“Pendaftaran ini adalah suatu langkah perlindungan bagi mengenal pasti hak-hak setiap individu.Pejabat Pendaftaran Nikah Cerai ini pasti juga ada unti kaunseling. Andainya ada masalah setelah berkahwin maka boleh diajukan kepada pendaftar tersebut”.

“Namun andainya masalah tidak berjaya diatasi maka barulah dihadapkan ke Mahkamah Syariah dimana akan dikendalikan oleh kadhi atau hakim mahkamah,” jelas Ustaz.

“Prosedur ini adalah berdasarkan kepada langkah kemaskini bagi memberi khidmat nasihat kepada pasangan-pasanagn kerana di dapati masih ramai yang tidak faham prosedur-prosedur yang telah ditetapkan.”

“Berdasarkan kekeliruan dan kurang kefahaman tentang hal ini, maka kursus-kursus intensif pra-perkahwinan sentiasa di adakan oleh Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri dengan kerjasama pihak kerajaan dan swasta bagi mendidik pasangan-pasangan semakin meningkat dewasa ini.

“Lembaga Pendidik dan Pembangunan Keluarga Negara juga memainkan peranan yang aktif ke arah tujuan ini di mana sasaran utama adalah pertama; kepada pasangan yang akan berkahwin (bertunang), kedua : golongan remaja, ketiga : mereka yang baru berkahwin dan keempat : mereka yang telah lama berkahwin”.

“Misalnya di Singapura, kursus khas diadakan dimana pasangan-pasangan yang ingin berkahwin diwajibkan menghadiri fardhu ain selama sepuluh bulan, bukan sepenuh masa mungkin sekali setiap hujung minggu. Di mana setelah habis kursus diadakan pula ujian lisan dan bertulis. Selepas itu baru diberikan sijil bagi setiap pasangan yang terlibat”.

“Namun begitu usaha-usaha yang telah dijalankan sekarang sudah menampakkan kesan yang positif dengan harapan setiap perkahwinan ada perancangan agar tercapai stabiliti yang terjamin”.

Ini adalah kerana perkahwinan merupakan suatu penerimaan memikul amanah dan tanggungjawab jawatan sebagai SUAMI dan sebagai ISTERI.

Setiap amanah dan kewajipan tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak akan melibatkan dosa akibat kelalaian itu.

“Oleh itu tugas-tugas ahli keluarga boleh dibahagikan kepada dua jenis : Tugas secara individu dan juga secara bersama,” jelas Ustaz Shafie lalu menyenaraikan tugas-tugas setiap individu dalam keluarga.

Senarai tugas suami :

1) Memberi nafkah sara hidup yang sewajarnya kepada isteri dan anak-anak.
a) Makanan yang seimbang.
b) Pakaian yang sesuai.
c) Hubungan seksual.

2) Menyediakan kemudahan tempat kediaman yang selesa.
3) Memberi bimbingan dan pendidikan agama yang meliputi perkara-perkara berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak.
4) Melindungi rumahtangga, ahli keluarga daripada sebarang bahaya dan kejahatan.
5) Menjaga dan mengambil berat tentang kesihatan ahli keluarga.
6) Memberikan kasih sayang dan simpati serta rela korban dengan ikhlas untuk kebahagiaan keluarga.
7) Bermesra dengan keluarga.
8) Berlaku adil terhadap isteri-isteri dan anak-anak.


Senarai tugas isteri :

1) Taat setia kepada suami dengan cara memberi layanan dan kasih sayang dan simpati sepenuhnya.
2) Memelihara diri dan kehormatan terutamanya ketika suami tiada bersama. Caranya tidak melayan atau membenarkan lelaki bukan muhrim atau sesiapa yang tidak disukai oleh suami masuk ke rumah.
3) Menghindarkan diri dari bergaul dengan lelaki bukan muhrim dan tidak membenarkan sesiapa pun menyentuhnya, lebih-lebih lagi berlaku curang.
4) Memelihara segala amanah dan harta benda suami seperti menjaga hak milik sendiri. Bagaimanapun tidak dilarang membelanjakan harta benda suami untuk sara hidup, amal kebajikan yang munasabah. Sebaliknya suami tidak boleh berbuat demikian terhadap harta benda isteri tanpa persetujuan terlebih dahulu.
5) Menjaga kebersihan dan kesegaran diri serta menghias diri untuk suami kerana isteri-isteri yang mendandan diri bukan untuk suami di akhirat kelak seperti lampu-lampu yang kehabisan tenaga – malap tidak bermaya.
6) Memelihara segala rahsia pergaulan antara suami isteri.
7) Menjaga kebersihan rumah tangga supaya menjadi tempat yang paling selesa untuk tempat beristirehat ahli keluarga.
8) Tidak meninggalkan rumah tanpa persetujuan suami kecuali kerana kecemasan.


Justeru itu syariat Islam menggalakkan pembentukan keluarga bahagia dan sejahtera dengan meletakkan tanggungjawab di atas setiap ahli keluarga yang perlu ditunaikan dengan sempurna.

No comments:

KUASA KEBESARAN ALLAH