Thursday, May 6, 2010

WAHAI SUAMI! LAYANANILAH ISTERI MU DENGAN BAIK....

OLEH:IZZUDIN ASY-SYARQOWI


Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan
yang bahagia dan harmonis. Setiap suami juga pasti mengidamkan
seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia.
Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia
adalah isteri yang solehah. (Hadis Riwayat Imam Muslim di dalam
Shahihnya, no: 1467)

Namun begitu apa yang seringkali diwar-warkan adalah peranan isteri
untuk membentuk keluarga yang harmonis, bagaimana isteri patut taat
kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang durhaka, apakah
balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh
dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-
sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan
untuk membina keluarga yang penuh dengan rasa cinta (mawaddah) dan
kasih-sayang (rahmah). Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan
rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki),
isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami
isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterang an (yang menimbulkan
kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Ruum (30) : 21)

Suami sememangnya telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala
untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan. FirmanNya

Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan
cara yang baik. (al-Nisaa' (4) : 19)

Melalui risalah yang ringkas ini marilah kita menelusuri sunnah Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam tentang peranan suami di dalam
membentuk hubungan yang penuh dengan mawaddah wa rahmah bersama
isteri.

Melayani Isteri Dengan Baik Merupakan Tuntutan Syarak

Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan
menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak.
Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kalian adalah orang
yang paling baik terhadap isterinya, dan saya adalah orang yang
terbaik di antara kalian (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.
(Hadis riwayat Imam al-Thahawi dalam al-Musykil dan al-Hakim di
dalam al-Mustadrak)

Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya di
antara mereka. Dan yang paling baik adalah yang paling murah hatinya
terhadap isteri-isterinya. (Hadis riwayat Imam Tirmidzi dalam
Sunannya, no: 1082)

Para suami juga dituntut untuk berlaku adil terhadap isterinya
dengan menunaikan segala haknya di dalam semua perkara yang selari
dengan syarak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan,
serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada
melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.
Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu
mengambil peringatan mematuhiNya. (al-Nahl (16) : 90)

Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka ganjaran Allah
Subhanahu wa Ta'ala di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana
sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Orang-orang yang berlaku adil di hari kiamat nanti akan ditempatkan
di mimbar-mimbar yang diperbuat dari cahaya, di sebelah kanan al-
Rahman (yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala) – lalu kedua tangan
Rasulullah di rangkaikan- Orang-orang yang duduk ke dalam golongan
itu adalah orang yang menegakkan keadilan dalam penerintahannya,
kepada isterinya dan tidak menyimpang. (Hadis riwayat Imam Muslim
dalam Shahihnya, no: 1827)

Lelaki adalah pemimpin bagi wanita sebagaimana firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala: Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum
perempuan… (al-Nisaa' (4) : 34) Walaupun Allah Subhanahu wa Ta'ala
telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin bagi keluarganya namun
ianya bukan menjadi lesen bagi para suami untuk bersikap seperti
seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri-
isteri mereka. Kekuasaan yang diberi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala
tersebut sebenarnya menuntut sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan,
adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau
bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain status
kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan
perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk melayan kaum wanita atau
isteri dengan baik melalui firmannya Dan bergaulah kamu dengan
mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. (al-Nisaa'
(4) : 19)

Memberi Nafkah Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan

Adalah kewajipan bagi seorang suami untuk memberi nafkah untuk ahli
keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala
keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak. Firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab
terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-
orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang
perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan
(memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (al-Nisaa' (4) : 34)

Kadar pemeberian nafkah ini adalah mengikut kemampuan seseorang
suami dan suami tidak sepatutnya membebankan dirinya melebihi
kemampuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan
sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi
nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu);
Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang
diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan
hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah
berlakunya kesusahan. (al-Talaaq (65) : 7)

Seorang sahabat bernama Mu'awiyyah bin Hidah radhiallahu 'anh pernah
bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri
kami ke atas suami?" Rasulullah bersabda: "Memberinya makan apabila
kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian…" (Hadis
Riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, no: 1830)

Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai keutamaan yang
besar di sisi Allah 'Azza wa Jalla. Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda:

Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan Allah, dinar
yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau
sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada
keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau
nafkahkan untuk keluargamu. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam
Shahihnya, no: 995)

Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang memiliki
kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap
isteri dan keluarganya apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang
dicela oleh Allah 'Azza wa Jalla dan RasulNya. Sabda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam: "Seburuk-buruk sifat yang ada kepada
seseorang adalah bakhil dan penakut." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud
dalam Sunanya, no: 2150)

Bagi isteri yang mempunyai suami yang bersikap bakhil, maka
dibenarkan baginya untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuannya
sekadar memenuhi keperluan kehidupan ahli keluarga.

Hindun bin `Utbah bin Rabi'ah pernah datang kepada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah, Abu
Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku
mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?"
Rasulullah bersabda: "Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai
keperluanmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Imam Bukhari
dalam Shahihnya, no: 2460)

Dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut tidak
dengan berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya.

Oleh itu hendaklah para suami benar-benar memerhatikan kewajipan
memberi nafkah kepada ahli keluarganya apatah lagi Allah Subhanahu
wa Ta'ala telah melebihkan kaum lelaki berbanding dengan kaum wanita
dengan beberapa keistimewaan kerana kewajipan ini. Adakah layak bagi
seorang suami untuk mendapat keistimewaan ini sekiranya dia tidak
menjalankan kewajipan mencari nafkah dan bergantung kepada harta
isteri walaupun mereka mampu untuk bekerja? Sesungguhnya lelaki yang
merdeka dan mulia adalah mereka yang membina keluarga mereka
daripada hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada
harta isterinya. Suami yang bergantung kepada harta isteri bukan
sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi juga
mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat
para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya.
Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah para hamba berada dalam waktu pagi, melainkan ada dua
malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: "Ya Allah,
berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih
baik," sedangkan malaikat yang lain berdoa: "Ya Allah, berikanlah
kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu
menafkahkannya) ." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya,
no: 1442)

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:

Cukuplah sebagai dosa bagi suami yang menyia-nyiakan orang yang
menjadi tanggungannya. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya,
no: 1442)

Melayani Keperluan Seks Isteri

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya,
adalah juga menjadi tanggunjawabnya untuk melayani keperluan batin
isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat yang pemalu terutamanya
untuk berbincang tentang kehendak seksualnya, namun sebenarnya
mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan
persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami. Oleh itu para suami
hendaklah menjaga perasaan isteri mereka ketika berjimak dan
melakukannya dengan niat untuk mencapai kenikmatan bagi kedua-dua
belah-pihak. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri
sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai kepuasan.
Hal ini adalah penting kerana jika seorang suami tidak prihatin
terhadap permasalahan ini ianya boleh menimbulkan akibat-akibat yang
negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya
ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya
bersetujupun ianya tidak dilakukan dengan kerelaan hati. Mungkin ada
yang merasakan ini suatu perkara yang tabu untuk diperbincangkan,
tetapi di dalam Islam berjimak adalah termasuk di dalam perkara yang
boleh mendatangkan pahala.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Dan pada hubungan kelamin kalian (dengan isteri) terdapat sedekah.
Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah bila seseorang kami
mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?"
Rasulullah menjawab: "Bagaimana menurut pendapat kalian jika dia
menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (tentu) dia akan
mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan
yang halal, dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Imam Muslim dalam
Shahihnya, no:1006)

Oleh itu pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri
untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.

Hendaklah Suami Bersikap Romantis Terhadap Isterinya.

Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini memang
agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun begitu adalah sunnah
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk mengucup isteri dengan penuh
rasa kasih sayang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah
mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. `Aishah
radhiallahu 'anha berkata:

Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu
berangkat menunaikan menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk.
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, no: 153)

Oleh itu apa yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak-
tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa
jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami sehinggakan tidak
memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika
suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumilah isteri kamu wahai
para suami, ikutlah sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merupakan seorang insan yang
begitu romantis terhadap isteri-isterinya sehinggakan baginda selalu
mandi bersama dengan isterinya. `Aisyah radhiallahu 'anha
meneceritakan:

Aku biasa mandi berdua bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam dari satu bejana. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam
Shahihnya, no: 250)

Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta
disukai oleh isterinya. Baginda memanggil `Aisyah radhiallahu 'anha
dengan gelaran Humaira' yang bermaksud putih kemerah-merahan
bertujuan untuk memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil `Aisyah
dengan nama yang digemarinya iaitu `Aisy. `Aisyah menceritakan
bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya:

Wahai `Aisy, Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu. (Hadis
riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 3217)

`Aisyah radhiallahu 'anha juga pernah menggambarkan betapa romantis
baginda shallallahu 'alaihi wasallam, sebagaimana riwayat di bawah
ini:

Suatu ketika aku minum, ketika itu aku sedang haidh, lantas aku
memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari
mulut gelas bekas aku minum. Dalam kesempatan lain aku memakan
sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu
dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya. (Hadis
riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 300)

Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ianya amat
membahagiakan `Aisyah sehingga dia sentiasa mengenangkan sikap-sikap
romantis baginda shallallahu 'alaihi wasallam ini. Perkara-perkara
sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan
terahadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya
perkara yang kecil di mata suami tetapi ianya amat besar menurut
pandangan isteri. Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang
terdapat dalam hadis-hadis baginda, oleh itu marilah kita berusaha
untuk menjadi seorang suami yang romantis dalam rangka mencontohi
sifat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Hendaklah Suami Bergurau Senda Dengan Isteri

Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan namun
begitu ianya hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta
tuntutan syarak dan tidak berlebih-lebihan. Sabda Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam:
Segala sesuatu yang di dalamnya tidak terdapat sebutan nama Allah
Subhanahu wa Ta'ala maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-
gurau, serta main-main kecuali empat perkara, suami yang bercanda
dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang
memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan
renang. (Hadis riwayat Imam al-Suyuthi dalam Jami' al-Saghir, no:
2312)

Ternayata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga sering
bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh `Aisyah
radhiallahu 'anha telah berkata:

Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu, aku
belum gemuk- kemudian setelah gemuk, aku berlumba lari dengannya,
maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: "Kemenangan ini
sebagai penebus kekalahan yang lalu." (Hadis riwayat Abu Dawud dalam
Sunannya, no: 2214)

Juga telah diriwayatkan dari `Aishah radhiallahu 'anha bahawa Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam pernah membawanya menyaksikan permainan
orang-orang yang berasal dari Sudan:

Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang
dan perisai. Aku (`Aishah radhiallahu 'anha) tidak ingat apakah aku
yang meminta untuk melihatnya ataukah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam yang berkata: "Apakah kamu ingin melihatnya." Aku pun
menjawab: "Ya." Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana
pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: "Biar yang lain,
wahai Bani Arfidah!" Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya
kepadaku: "Sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya." Bagindapun
bersabda: "Pergilah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam
Shahihnya, no: 950)

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga membenarkan nyanyian yang
sesuai dengan syarak dilagukan di rumah `Aishah radhiallahu 'anha.

Dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumahku (pada Hari Raya), dan
ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan
lagu peperangan Bu'ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat
tidur sambil memalingkan wajahnya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di
dalam Shahihnya, no: 949)

Oleh itu wahai suami bercandalah dengan isteri anda. Jangan biarkan
suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.

Hendaklah Suami Meluangkan Masa Untuk Bersama Isteri

Walau sesibuk mana sekalipun suami mengurus tugasan hariannya tetap
dia perlu berusaha untuk meluangkan waktu bagi bersama isterinya.
Kadangkala kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan
lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya
sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja
seorang suami untuk menghiburkan hatinya. Adakalanya setelah penat
dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang
kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk
melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa
masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri.
Wahai para suami! Ingat firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan
cara yang baik. (al-Nisaa' (4) : 19)

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah menasihati para
sahabat radhiallahu 'anhum untuk jangan terlalu menyibukkan diri
dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk melayani
isteri dengan baik. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Wahai `Abdullah (bin `Amr bin al-Ash radhiallahu 'anh), bukankah
telah diberitahukan kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang
(setiap) hari dan solat di malam hari (sepanjang malam)? Aku
(`Abdullah bin `Amr) berkata: "Benar wahai Rasulullah." Baginda
bersabda: "Jangan kamu lakukan, berpuasalah dan tinggalkan (tidak
berpuasa), solat dan tidurlah, kerana sesungguhnya badan kamu
mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke
atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu, dan tetamu kamu
mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari
setiap bulan, dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu
sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika demikian, ia
adalah seperti puasa sepanjang masa…" (Hadis riwayat Imam al-Bukhari
dalam Shahihnya, no 1975))

Oleh itu walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di
luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para
isteri tetap berhak untuk mendapat perhatian serta belaian manja
dari para suami.

Membina Sebuah Rumahtangga Yang Dihiasi Dengan Ibadah

Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik
dan hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu salah satu
faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah menbentuk
sebuah rumahtangga yang senantiasa dihiasi dengan amal ibadah yang
soleh dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan. Firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia
beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan
kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka,
dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah
kerjakan. (al-Nahl (16) : 97)

Oleh itu para suami hendaklah senantiasa menganjurkan para isteri
untuk beribadah bersama seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa
sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Qur'an
dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan
keimanan dan ketakwaan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
senantiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah
sesuai dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang,
dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak
meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki
kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang
yang bertaqwa. (Surah Taha (20) : 132)

Telah diriwayatkan dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata:

Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajjud), sementara aku
tidur melintang di hadapan baginda. Bila hendak mengerjakan solat
witir, baginda akan membangunkanku. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari
dalam Shahihnya, no: 512)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga telah bersabda:

Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari
untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan isterinya untuk
solat bersama. Bila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun),
baginda memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga
Allah merahmati seorang isterinya yang bangun malam hari untuk
mengerjakan solat malam, lalu membangunkan suaminya untuk solat
bersama. Bila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah
suaminya." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, hadis
no: 1113)

Oleh itu sewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan
pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam. Disamping itu hendaklah para suami
isteri berusaha untuk saling memperingatkan di antara satu sama lain
untuk bersama-sama melaksanakan segala perintah Allah Subhanahu wa
Ta'ala sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah
dan meninggalkan segala laranganNya. Hendaklah mereka berganding
bahu dalam menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka,
berusaha membentuk suasana yang islamik yang di dalamnya penuh
dengan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang tenteram. Saranan
ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga
kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu
(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang
keras kasar (layanannya) ; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam
segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan. (al-Tahriim (66) : 6)

Hendaklah Suami Sentiasa Menunjukkan Wajah Yang Ceria.

Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh
mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu
sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat
kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang
merengut. Apatahlagi telah sabit perintah dari Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam agar kita sentiasa mempamerkan wajah
yang ceria sebagaimana sabdanya:

Sedikitpun janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik,
meskipun ketika berjumpa dengan saudaramu engkau menampakkan wajah
ceria. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 2626)

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali yang paling utama bagi
suami adalah untuk menunjukkan wajah cerianya kepada isteri tercinta.

Hendaklah Suami Menjaga Penampilan Diri

Disamping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah
menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih.
Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan
suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya
yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan
isteri yang anggun lagi bergaya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya
(dan tidak dilarang oleh syarak)… (al-Baqarah (2) 228)

Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang
berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias
untukku."

Tambahan pula Allah 'Azza wa Jalla menyukai keindahan termasuklah
penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak
sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan. (Hadis
riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 91)

Rentetan dari ini maka hendaklah para suami berusaha untuk kelihatan
bergaya sehingga sedap mata isteri memandang.

Hendaklah Suami Sabar Melayani Kerenah Isteri

Perempuan memang terkenal dengan sikap mereka yang emosional dan
suka ikut perasaan. Namun begitu para suami harus sabar ketika
berhadapan dengan kerenah sedemikian rupa. Hendaklah para suami
berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari
tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah
bahagian atasnya. Seandainya kamu luruskan maka berarti kamu
mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus sahaja
bengkok. Untuk itu nasihatilah wanita dengan baik. (Hadis riwayat
Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 5186)

Hadis ini menganjurkan para suami untuk menasihati para isteri
dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali
terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ianya bukan sahaja tidak
akan menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu para suami haruslah bijak mencari masa yang paling baik
untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan
seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap maka sebaiknya
ditangguh dahulu penjelasan atau menasihatinya sehingga kondisi
menjadi tenang dan tenteram.

Sekiranya wujud di dalam isteri masing-masing sifat-sifat yang
kurang kita senangi maka handaklah kita mencari sifat serta tabiat
isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan mengelakkan
timbul perasaan benci terhadap isteri. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia
membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai
akhlaknya yang lain. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no:
1469)

Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk
meluruskannya maka hendaklah ianya dilakukan secara bertahap-tahap
dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya. Firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan
derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka
berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka
masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan
mengajarnya) . Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah
kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah
Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (al-Nisaa' (4) : 34)

Jika suami telah melihat tanda-tanda kedurhakaan pada isterinya,
hendaklah dia menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman
Allah terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya
dan dia masih tidak berubah maka suami berhak memisahkan tempat
tidur dan tidak menggaulinya (Hajr). Apabila hajr juga gagal untuk
menyedarkan isteri atas kesilapannya maka hendaklah suami memberi
pelajaran kepada isteri dengan memukulnya dengan pukulan yang tidak
menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang
digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang
telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menangani
sikap-sikap yang negatif yang mungkin wujud pada para isteri.

Kewajipan Suami Untuk Menyediakan Rumah Untuk Isteri

Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan
kewajipan seorang suami. Ianya amat penting dalam membentuk sebuah
keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami
isteri memainkan peranan masing-masing dan membesarkan serta
mendidik anak-anak. Dalil kewajipan menyediakan rumah adalah
sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat
kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu… (al-Talaaq (65) : 6)

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dalam
tempoh idah namun ini hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri
yang masih dalam status pernikahan lebih berhak untuk mendapatkan
tempat tinggal.

Tentang saiz serta reka bentuk rumah maka ianya menurut kemampuan
para suami. Firman Allah 'Azza wa Jalla:

Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (al-
Baqarah (2) : 233)

Bagi suami yang memiliki sedikit harta maka dapatkanlah rumah
bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu dan sekiranya di
masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan
untuk mendapatkan rumah yang lebih besar.

Seorang isteri juga berhak untuk mendapatkan rumah yang khusus bagi
dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya mahupun ahli keluarga
yang lain. Isteri berhak untuk menolak permintaan suami untuk
tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan
suami wajib memenuhi tuntutan tersebut. Penolakan isteri itu
menunjukkan kemungkinan dia merasa tidak selesa dengan situasi
tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan
suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan
pihak lain.

Kesimpulan

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Qur'an serta sunnah Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam yang dapat membantu membina sebuah
keluarga yang harmonis. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi
sekalian pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri.
Contohilah sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kerana pada diri
baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik. Firman Alah Subhanahu
wa Ta'ala:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh
ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang). (al-Ahzaab (33) : 21)

Imam Sufyan bin `Uyainah rahimahullah berkata: "Sesungguhnya
Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus
diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai
dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka itu
bererti batil."

No comments:

KUASA KEBESARAN ALLAH